Cari Blog Ini

Isnin, 7 Jun 2010

Kemalangan Langgar Lari - Jun 2010

Mangsa Langgar Lari Parah

04 June 2010

Km 19-2
Jalan Lingkaran Tengah 2
susur ke Wangsa Maju
4 Jun 2010
9-30 pagi
Setelah selesai di lokasi kemalangan/jenayah di bawah, satu lagi kesesakan berlaku kira-kira 3 kilometer di hadapan.

Seperti dijangka, satu kemalangan berlaku.

Ia membabitkan seorang penunggang motosikal di rempuh sebuah kereta yang kemudian terus meninggalkan tempat kejadian.

Dan, saya sempat membantu mangsa tersebut yang cedera parah dan meminta bantuan ambulan segera dari Bulan Sabit Merah Malaysia yang sebelumnya telah tersalah jalan.

Mangsa, T- Jayagopal, 46 tahun,  merupakan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan baru pulang mendapatkan rawatan dari sebuah klinik.

Darah yang memancut keluar dari kepalanya membuatkan saya terpaksa mendapatkan nombor telefon pemandu ambulan meminta bantuan segera lalu menghubunginya yang kebetulan tersalah panduan untuk ke lokasi.
============================================

Sebaik tiba di lokasi, saya terlihat seorang lelaki sedang tersandar. Beberapa orang sedang berada berhampirannya termasuk seorang pemandu teksi dan dua penumpangnya menenangkannya.

Saya dimaklumkan, mereka telah menelefon ambulan, setengah jam yang lalu, namun masih tidak muncul.

Ia di bawah kawasan Ampang dan saya jangkakan, ambulan dari Hospital Ampang akan memberikan respon.

Dan melihat dari kesesakan teruk pada kemalangan membabitkan penjenayah, kira-kira 3 kilometer sebelumnya, saya jangkakan tentu ambulan mengalami laluan sukar untuk tiba cepat ke lokasi.

Namun , saya berusaha juga untuk mendapatkan bantuan ambulan dari lokasi terdekat, dan saya lantas menelefon bilik gerakan Jabatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur jam 9-57 pagi.

Setelah menunggu kira-kira  2 minit, saya dimaklumkan begini oleh petugas:

"Maaf encik, ambulan ada, tapi pemandu tiada"

Saya tiada masa untuk mendengar penjelasan lanjut, lantas saya berusaha menelefon Perkhidmatan Ambulan Bulan Sabit Merah Malaysia, di Jalan Nipah, yang jaraknya lebih dekat dari Hospital Ampang.

Saya disambungkan ke Bahagian Ambulan dan kebetulan saya mengenali pegawai bertugas, Encik Alagu.

Menurut Alagu, mereka baru sahaja kira-kira 10 minit dapat panggilan dan ambulan telahpun keluar. Saya minta tolong pada Alagu supaya ambulan segera ke lokasi kerana mangsa tiba-tiba jadi bertambah parah.

Alagu turut memberikan nombor telefon pemandu ambulan untuk saya hubungi bagi mengetahui lokasi ambulan.

Ketika itu, keadaan Jayagopal menjadi semakin kritikal. Darah tiba-tiba mencurah-curah keluar dari tepi kepalanya yang telah berlubang di bahagian kiri.

Sebuah kereta peronda polis tiba, dan anggota polis terbabit turut membantu menahan darah dari keluar menggunakan sarung tangannya.

Saya segera menghubungi pemandu ambulan untuk mengetahui kedudukannya.

Saya - Kau kat mana dah sekarang?

Pemandu - Saya dah u-turn balik ke pejabat. Mangsa dah diambil agensi lain. Tinggal motor sahaja.

Saya - Kau biar betul, aku sekarang ada di lokasi, Mangsa parah. Kenapa kau u-turn. Itu kes lain. Pusing balik ke lokasi. Kau terus arah ke Gombak, lepas susur Giant, bukan sebelum susur Giant.

(motosikal yang dimaksudkan)
(Sebenarnya, pemandu ambulan terlihat satu motosikal yang tersadai di tepi jalan sebelum susur ke Giant Taman Melawati. Motosikal itu ialah kes sebelumnya di mana penjenayah merempuh motosikal itu. Kes yang sedang saya hadapi sekarang ialah kes yang juga membabitkan penunggang motosikal, TETAPI berlaku selepas susur Giant Taman Melawati, kira-kira 2 kilometer di hadapan.)

Saya juga sempat menelefon rakan di Unit Kecemasan DBKL, bagi mendapat pengesahan, Jayagopal adalah kakitangan DBKL, setelah saya meminta nombor anggota Jayagopal dan bertugas di cawangan mana. 

Akhirnya, ambulan terpaksa membuat pusingan U sekali lagi dan menempuh lagi satu kesesakan sebelum tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Dan, selang 5 minit  kemudian, ambulan dari Hospital Ampang juga tiba di lokasi.


Dalam kes ini , ada beberapa perkara boleh diambil perkiraan:

1- Tiada soal ambulan lambat tiba di lokasi, kerana, pusat panggilan 999 mungkin meminta bantuan dari Hospital Ampang, tetapi akibat kesesakan yang teruk pada kemalangan membabitkan penjenayah itu, menjadikan pergerakannya terhalang.

2. Mungkin, setelah menunggu lama, pemanggil mungkin menelefon beberapa kali lagi ke pusat 999, menyebabkan kes dipindahkan ke Bulan Sabit Merah, lalu bertindak segera.

3. Maklumat lokasi mungkin tidak tepat ketika sampai ke Bulan Sabit Merah, menyebabkan pemandu ambulan keliru kerana kebetulan memang ada satu kemalangan motosikal kira-kira 2 kilometer sebelum kes ini.

4. Maklumat dari Jabatan Pertahanan Awam bahawa, ambulan ada, pemandu tiada - agak sukar untuk ditafsirkan. Bukankah setiap ambulan perlu ada seorang pemandu yang sentiasa siap sedia jika menerima panggilan kecemasan?

5. Jalan Lingkaran Tengah 2, MRR2 adalah tersangat panjang, kira-kira 40 kilometer bermula dari Kepong hingga ke Bandar Tasik Selatan. Kadang-kadang, dalam kecemasan, maklumat lokasi yang tidak tepat kepada yang tidak biasa pada laluan ini, menjadikan lambat untuk tindakan.
6. Jika anda melalui MRR2 ini , sebenarnya, tanda kilometer pada setiap 100 meter, banyak yang hilang mungkin dilarikan penyamun. Ini menyukarkan memberikan lokasi paling tepat sesuatu kes.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan