Cari Blog Ini

Khamis, 10 Jun 2010

Lisa belum sampai tahap Erra

SELEPAS Erra Fazira, sinema Malaysia kini dihiasi pula dengan kemunculan seorang lagi bintang yang tidak kurang jelita dan berbakat besar. Beliau tidak lain daripada Lisa Surihani Mohamed.
PENGALAMAN BARU...Lisa risau berlakon dengan haiwan liar
dalam filem Zoo.
PENGALAMAN BARU...Lisa risau berlakon dengan haiwan liar dalam filem Zoo.
sebelum  -  selepas

Satu demi satu filem lakonan Lisa ditayangkan bermula Good Bye Boys, I'm Not Single, Jangan Pandang Belakang Congkak, V3: Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stilleto hingga yang terbaru, Lagenda Budak Setan.

Itu belum lagi filem Kapoww, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Cyber X: Ancaman Pagoda dan yang baru dipertontonkan kepada pihak media - Zoo.

Ternyata kontrak lima tahun yang ditandatangani Lisa sebagai artis residen MIG Productions Sdn Bhd berbaloi kerana dalam tempoh tiga tahun saja, banyak filem dibintangi gadis berusia 24 tahun ini.

Malah tidak hanya berlakon watak baik semata-mata, Lisa juga menyahut cabaran memainkan peranan antagonis seperti dalam Jangan Pandang Belakang Congkak. Pun begitu, apabila ditanya adakah Lisa cuba mengikut jejak Erra Fazira sebagai ratu filem moden, dengan pantas Lisa menafikannya.

Ini kerana dia menganggap semuanya masih terlalu awal untuknya berpuas hati. Walaupun pelbagai genre sudah dicuba, ia belum mencukupi.

"Pada tahap sekarang, saya tidak rasa sudah setanding Erra Fazira. Kalau diukur pencapaian dengan Erra, saya masih jauh ketinggalan. Bagi saya, semua ini adalah rezeki daripada Tuhan dan saya lakukan bukan dengan niat untuk menandingi sesiapa pun.

"Terus terang, saya malu rasa sangat malu menjawab soalan ini. Siapalah saya untuk dibandingkan dengan Erra? Bagi saya, Erra seorang pelakon terbaik dan sudah banyak meraih kejayaan dalam kariernya.

"Selain itu, bagi saya setiap pelakon ada kekuatan masing-masing. Biarlah penonton dan media yang menilai hasil kerja saya. Bahkan, saya juga sedia menerima semua kritikan daripada penonton kerana saya sendiri tidak nampak di mana kelemahan saya," katanya.

Memandangkan wajah Lisa semakin menghiasi poster pawagam, apakah dia tidak gusar sekiranya peminat lekas bosan?
"Ketika berlakon saya tidak tahu pun mengenai kedudukan tayangan sesebuah filem itu. Semua itu di luar bidang kuasa saya. Apa yang penting, kalau ada tawaran menarik, saya akan berlakon, satu lepas satu, mengikut kemampuan diri dan jadual penggambaran.

"Saya juga sentiasa bekerja dengan sepenuh hati dan berusaha merealisasikan setiap watak dengan sebaik mungkin. Sebelum berjaya, saya perlu banyak mencuba untuk menilai hasilnya.
"Apapun, dalam filem Zoo yang akan ditayangkan 1 Julai nanti, saya gembira dapat berlakon komedi dengan pelakon yang kelakar. Awalnya saya memang tidak ada keyakinan untuk berlakon cerita komedi walaupun sebenarnya saya suka melawak. Tapi selepas mencuba, seronok pula.

"Saya memang jenis 'happy-go-lucky' orangnya. Justeru, filem Zoo membawa kelainan buat diri saya," kata Lisa lagi.

Membawakan watak Sheila, seorang pekerja di taman haiwan, Lisa berkata ia satu tugas berat yang perlu dipikulnya. Cabaran pertama, sudah tentu berlakon dalam genre komedi dan kedua, mendekati haiwan liar yang tidak pernah dilakukannya.

"Sebelum berlakon filem ini, saya lebih dulu pergi ke Zoo Negara untuk menyesuaikan diri dengan haiwan. Ini kerana mendekati haiwan liar tidak sama seperti binatang peliharaan. Paling saya risaukan adalah tindakan haiwan yang sukar dijangka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan